Rabu, 25 Disember 2013

KAMPUNG PADANG MANDOL - Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di bawah kendalian Rukun Tetangga (RT) berperanan membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah berikutan kadar jenayah di KRT Padang Mandol semakin berkurangan.

Pengerusi KRT Padang Mandol, Nawi Adek berkata, bila dilaksanakan rondaan SRS di dalam kawasan RT Padang Mandol, bukan sahaja kadar jenayah kurang tetapi mampu memupuk semangat perpaduan antara komuniti.

Menurutnya, sejak SRS ditubuhkan tiga tahun lepas, setiap malam anggota SRS meronda dalam KRT ini melibatkan Kampung Jal Kecik, Kampung Padang Mandol, Kampung Kolam dan Kampung Atas Beris.

“Memang ketara kejadian jenayah di kampung ini, ianya semakin berkurangan semenjak ditubuhkan SRS. Lagi pun anggota SRS di sini seramai 137 orang sentiasa memberi komitmen meronda walau pun ketika musim banjir sekali pun,’ katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kerusi dan meja daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi di sini, kelmarin.

Sumbangan kerusi tersebut membantu KRT Padang Mandol dari segi kemudahan infrastruktur memandangkan setiap kali diadakan mesyuarat, kerusi terpaksa dipinjam.

Menurutnya, kerjasama daripada golongan belia juga amat baik apabila 30 peratus ahli SRS adalah golongan belia, menjadi anggota SRS membantu penduduk kampung menjaga keamanan kampung.

“Suasana di kampung ini agak sunyi waktu malam, berisiko berlaku kecurian, pecah rumah, namun dengan kerjasama semua pihak termasuk penduduk kampung, banyak perkara dapat dibendung,” katanya.

KRT Padang Mandol ditubuhkan penghujung tahun 2008 dengan keahliannya seramai 25 orang manakala anggota SRS pula seramai 137 dipecahkan kepada dua unit untuk meronda di kawasan Padang Mandol dan Kampung Jal Kechik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan